Showing posts with label BM. Show all posts
Showing posts with label BM. Show all posts

Rihlah Ilmiah

>> Monday, July 2, 2012



Jika tuan puan berminat untuk membeli buku Rihlah Ilmiah: Dari Neomodernisme ke Islamisasi Ilmu Kontemporer tulisan Professor Wan Mohd Nor Wan Daud, boleh dapatkannya menerusi laman web ini http://wanmohdnorwandaud.blogspot.com/

Saya telah membelinya bulan lalu, tapi masih belum membacanya. Sedikit gusar barangkali ia terlalu 'berat' bagi saya, tapi saya tidak seharusnya menilai sebelum menekuninya sendiri, bukan?

Read more...

Set Bacalah Sayang

>> Sunday, October 23, 2011

Apabila ada komen yang ditinggalkan di blog ini memberikan link ke blog menjual set buku Bacalah Sayang ini saya bergegas singgah. Dan bergegas juga menulis e-mel kepada pemunya blog, Mimie untuk membeli satu set. Bacalah Sayang ini merupakan set yang menggantikan siri Tidurlah Intan terbitan DBP lebih kurang dua puluh tahun dahulu. Saya pernah ternampak set ini di sebuah kedai buku tetapi tidak membeli walaupun berminta kerana harganya dirasakan agak mahal (RM180). Tetapi di blog Mimie, saya cuma mebayar RM80 (termasuk kos pengeposan) sahaja! Jika anda berminat, lekas hubungi Mimie kerana stoknya terhad.


Setiap set mengandungi 12 buku (satu setiap bulan) dengan setiap buku mengandungi koleksi cerita rakyat, cerita moden, puisi, lagu, dan teka-teki yang sama jumlah dengan hari dalam bukan itu (satu bacaan setiap malam). Jikalau saya tidak silap, DBP menerbitkan cerita/puisi/lagu/teka-teki yang sama dengan Tidurlah Intan, cuma menggunakan ilustrasi yang baharu.



Setelah membacakan satu cerita kepada anak-anak saya, saya pula yang 'terkejut' kerana anak saya yang sulung minta dinyanyikan lagu (walaupun saya belum sebut pasal lagu).

Saya bertanya kepadanya, "Mana Abang tahu ini lagu?"

"Sebab ada ini," jawabnya sambil menunjukkan barisan not-not lagu.

Saya rasa pelik sebab saya belum pernah mendedahkan dia kepada not-not lagu, dan saya tahu di tadika dia tidak diajar pelajaran muzik. Saya bertanya, "Mana abang tahu kalau macam ini maknanya lagu?"

"Abang pernah tengok di komputer." Ya, itulah generasi sekarang ya. Mesti tengok-tengok juga apa yang mereka belajar di internet. Dengan ingat-ingat lupa naik turun not lagu dan panjang pendeknya, sekadar yang pernah belajar di sekolah rendah lebih dua puluh tahun yang dulu, saya pun cuba menyanyikan lagu itu. Mesti sumbang, hehe..

Read more...

Perbendaharaan kata

>> Tuesday, May 3, 2011

Ya, saya tahu, Pesta Buku baru berlangsung minggu lepas. Saya tidak tulis apa-apa tentangnya kerana ... saya tidak dapat pergi (sedih!). Lebih kurangnya, saya belum habis berpantang selepas bersalin anak ketiga. Tak mengapa, insya-Allah tahun depan boleh pergi jika panjang umur :)

Credit to image source: goodreads.com

Saya baru selesai baca Advencer Si Peniup Ney beberapa minggu sudah. Buku yang diterbitkan pada tahun 2005 ini merupakan sindiran Faisal Tehrani terhadap budaya hiburan tempatan (khususnya Akademi Fantasia yang menjadi kegilaan remaja waktu itu). Seorang ustaz muda bernama Sulaiman dipilih megetuai sekumpulan jin muda untuk berdakwah di sebuah negara jin yang dilanda hedonisma dengan memperkenalkan konsep muzik sebagai alat untuk mendekatkan diri dengan Allah.

Kisah ini sinikal dan menarik, cuma pada pendapat saya bahagian di mana penduduk negara jin dengan cepat berjaya didakwahkan, agak kurang meyakinkan. Tentunya tidak mudah hendak memujuk golongan yang sudah terbiasa dengan sesuatu perkara untuk berubah.

Yang lebih menarik perhatian saya, buku ini menawarkan banyak kosa kata baru, bertepatan dengan apa yang dinyatakan oleh Faisal Tehrani dalam bukunya Karya Nan Indah, bahawa salah satu fungsi karya adalah memperkenalkan perbendaharaan kata baru kepada pembaca. Mula-mula perkataan-perkataan baru ini ('baru' bukan kerana baru dicipta, tetapi kerana jarang digunakan) memang kedengaran janggal, tetapi lama-lama akan terbiasa. Contohnya, perkataan 'ranggi' dan 'canggih' mula popular sekitar tahun 90-an, dan kini sudah biasa digunakan.

Ini antara perkataan-perkataan baru yang saya belajar daripada buku ini (makna dirujuk daripada Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP:

dubilah setan - kata yg menunjukkan ke­hairanan, kata seruan.
kepang - jalinan atau anyaman (tali, rambut)
jerait - berkait-kait; berjalin-jalin
jeregut - besar, rendang, rimbun, tersergam
jereket - melengket, melekat, ber­cantum
sijundai - ilmu sihir yg dapat menggilakan orang
silengah - tidak mengendahkan apa-apa, bersikap tidak tahu
mongkok - 1. (kelihatan,tampak) lebih tinggi drpd yg lain, tertinggi; 2. ki lebih baik (elok, unggul, utama)
kesel - letih, penat
jali - jelas, nyata, terang
sejemang - sebentar
ahmak - bodoh, dungu

Dan ini cuma daripada 5 mukasurat (37-41) untuk dicontohkan. Kelompok perkataan-perkataan 'jerait-jeregut-jereket' dan 'sijundai-silengah' membuatkan saya berhipotesis bahawa metod penulis memasukkan perkataan baru adalah dengan menyelak kamus kemudian mencari atau menyesuaikan ayat mana untuk diletakkan.

Read more...

Nama Beta Sultan Alauddin

>> Monday, April 11, 2011

Credit to image source: ujanailmu.com.my

Meskipun buku ini sudah lama di rak buku, saya tidak lekas memilih untuk membacanya. Barangkali kisah sejarah biasanya 'berat' bagi saya. Jangkaan saya meleset. Dalam buku ini, kisah Sultan Alauddin diceritakan oleh seorang datuk kepada cucu-cucunya. Penceritaan yang ringan dan menarik membuatkan buku ini enak dibaca, dan amat sesuai untuk kanak-kanak.

Saya sudah lupa sebarang fakta berkenaan Sultan Alauddin daripada buku teks Sejarah sekolah menengah dahulu. Menguliti buku ini membuatkan saya teruja membaca bagaimana beliau merupakan seorang pemerintah yang warak dan berwibawa. Sayang sungguh, tempoh pemerintahan beliau tidak lama, akibat perbuatan khianat musuh-musuh dalam istana.

Saya akui, saya seorang yang naif barangkali, tetapi 'kuasa' memang sesuatu yang tidak dapat saya fahami. Saya tidak dapat mengerti bagaimana seseorang boleh menggadai kemaslahatan umum demi kepentingan diri dalam perebutan kuasa. Ah, senanglah saya berkata begitu, setelah peristiwa dan kesannya berlaku (on hindsight/restrospectively). Barangkali sewaktu kejadian tersebut berlaku, setiap pihak menyangka masing-masing yang betul dan berhak.

Read more...

Menara oleh Isa Kamari

>> Thursday, February 10, 2011

Credit to image source: goodreads.com

Saya tertarik untuk membaca novel sastera Menara garapan Isa Kamari (terbitan PTS Litera Utama) apabila mendapat tahu penulis seorang arkitek dan buku Menara pula merupakan jawapannya kepada persoalan apakah tidak timbul keinginannya untuk menulis novel mengenai pekerjaan arkitek.

Setelah menggeluti buku ini dalam waktu beberapa hari, jelas bahawa buku ini lebih menyorot persoalan falsafah berbanding pekerjaan arkitek secara langsung. Membangunkan binaan dianalogikan sebagai membangunkan jiwa. Sejujurnya, saya mendapati buku ini sedikit ‘berat’ untuk dihadamkan. Banyak perkara tersirat yang cuba disampaikan oleh penulis dan kadangkala saya tidak dapat mengikutinya. Penulis sendiri mengakui dalam ruangan Pengenalan, “Saya akui Menara bukan mudah dibaca dan dihayati. Ia memerlukan kesabaran dan keberanian pembaca. … Oleh kerana itu Menara tidak usah dipanjat dengan terburu-buru. …”

Pada awalnya saya sedikit keliru dengan plot cerita. Bab-bab seperti berselang-seli antara plot utama dengan cerita lain yang kadangkala seperti ada kaitan dengan plot utama dan kadangkala tidak. Usai membaca mukasurat terakhir, barulah saya menyelak kembali ke ruangan Pengenalan di hadapan. Rupa-rupanya, memang penulis sengaja menggunakan kembali cerpen-cerpen yang telah ditulisnya sebelum ini dan menggabungkannya menerusi satu tema (jati diri dalam era globalisasi) yang diolah menjadi plot utama cerita Menara.

Ayat-ayat dalam buku ini enak dibaca, amat berguna untuk menambahkan khazanah ayat satera dalam minda saya. Tambahan pula, penulis banyak memasukkan bait-bait puisi dalam plot utamanya. Tetapi ceritanya barangkali terlalu berat atau filosofikal untuk seorang ‘layman’ seperti saya.

Read more...

Menunggu Cinta Tuhan oleh Lily Haslina Nasir

>> Thursday, November 18, 2010

Sumber gambar goodreads.com

Buku terbitan PTS Litera ini tidak mengecewakan. Saya larut dalam cerita yang digarap oleh Lily Haslina Nasir. Ini karya beliau yang pertama saya baca. Impresif juga biografinya; beliau mula menulis seawal usia 13 tahun dan novel pertama beliau diterbitkan sewaktu beliau berusia 17 tahun.

Latar yang dipilih adalah amalan ilmu hitam dan kewartawanan unit hiburan, cukup menarik. Watak-watak utama - Khalida Atikah, graduan bidang syariah yang ingin melakukan dakwah cara sendiri menjadi wartawan unit hiburan; Azrul Rasyid, ketua unit hiburan Akhbar Dinamik yang kasar lagi lantang, tulisannya penuh menyakitkan hati; dan Nureen, gadis seksi yang mula belajar ilmu sihir dari makciknya, Latifah. Ilmu sihir diamalkan untuk melariskan makanan (Latifah memiliki perniagaan restoran), membalas dendam dan sebagai ubat pengasih.

Pengakhiran cerita ini sebenarnya tidak sukar dijangka, tapi saya seronok juga membaca untuk mengetahui bagaimana perinciannya. Prolog yang diberi di permulaan novel juga sudah menggambarkan kesudahan cerita, tetapi saya dapati ada sesuatu yang 'tidak kena' (plot tidak konsisten/kongruen) dengan prolog ini apabila sudah selesai membaca keseluruhan novel. Ada juga satu plot dalam cerita (berkenaan rahsia ibu Azrul) yang sedikit tergantung. Dan akhir sekali, meskipun isu remeh sahaja, saya kurang setuju dengan pemilihan wajah yang menjadi penghias kulit depan novel ini, wajah gadis dari ras Kaukasian/Arab sedangkan watak yang cuba digambarkan (Khalida Atikah) berbangsa Melayu. Bukannya apa, pandangan pertama (first impression) jika tidak dibaca blurb kulit belakang mungkin menyebabkan bakal pembeli menyangka ini kisah cinta berbeza budaya.

Read more...

Salina oleh A Samad Said

>> Monday, July 26, 2010


Semenjak saya didatangi kesedaran untuk memahirkan diri saya menggunakan bahasa ibunda (saya ingin ceritakan lebih lanjut, mungkin di post akan datang, insyaAllah), saya lebih proaktif mencari buku-buku Bahasa Malaysia untuk dibaca. Salah satu azam saya ialah untuk membaca satu buku tulisan setiap Sasterawan Negara. Bagi Datuk A Samad Said, saya telah sekian lama mencari-cari novel Salina, kerana novel yang ditulis lebih setengah abad yang lalu ini banyak disebut-sebut, dan beberapa orang kenalan saya ada menyenaraikan buku ini dalam senarai buku kegemaran mereka. Akhirnya saya berjumpa dengan buku ini di Perpustakaan Bandar Baru Bangi.

Sejujurnya, saya agak kecewa. Meskipun saya tahu watak Salina merupakan seorang pelacur yang baik hati, saya tidak menjangka hampir keseluruhan cerita berkisarkan mengenai watak-watak yang sebahagiannya tidak baik dan bergelumang dengan maksiat. Ada kisah seks luar nikah dan rogol (walaupun tidak diperinci), minum arak, memukul, mengherdik, menghasut, dan sebagainya. Saya membaca dalam keadaan kurang selesa, ‘panas hati’ dan kadang-kadang rasa seperti mahu menjeritkan ‘arghh!’ (di dalam hati). Kadang-kadang, saya rasakan seolah-olah watak-watak baik tidak berusaha untuk ‘menentang’ watak-watak ‘jahat’. Contohnya, apabilah Nahidah ditekan oleh ibu tirinya supaya bekerja sebagai pelayan (yang dimaklumi akan membawa kepada pelacuran dalam kes ini), mengapa dia cuma menentang dan membantah tetapi akhirnya akur walaupun tanpa rela? Mengapa tidak larikan diri sahaja dari rumah bersama-sama dengan abang-abangnya?

Saya hampir saja berhenti membaca tetapi saya gagahkan diri untuk menghabiskan, pertamanya kerana masih ada rasa ingin tahu bagaimana kesudahan cerita ini dan kedua masih mengharapkan cerita disudahkan dengan lebih positif. Saya silap. Kesudahan cerita ini seperti tidak memenangkan watak-watak baik. Sesetengah bahagian cerita membiarkan pembaca tertanya-tanya. Apa yang terjadi kepada Zarina? Nahidah? Abdul Fakar? Cerita ini lebih memfokuskan kepada apa yang terjadi pada waktu itu sahaja.

Benar, novel merupakan garapan realiti masyarakat dan barangkali realiti ini perlu dirakam. Tetapi saya mendapat kejutan budaya (culture shock) membaca realiti itu. Benar, kehidupan sesetengah kaum masyarakat amat susah dan miskin terutama waktu zaman selepas perang dan sebelum kemerdekaan. Saya kira saya lebih suka mengambil tauladan daripada kisah-kisah yang baik, berbanding menjadikan sempadan kisah-kisah yang tidak baik, walaupun tidak dinafikan kadang-kadang kisah-kisah yang tidak baik itu lebih berkesan dalam memberi pengajaran.

Sebenarnya, novel ini digarap dengan sangat baik, sehinggakan dapat digambarkan dengan jelas bagaimana daifnya kehidupan di Kampung Kambing itu. Ceritanya meruntun hati. Dialog pada zaman itu menarik untuk diperhatikan (contoh ‘hendak’ dieja sebagai ‘endak’). Namun, saya tidak fikir saya akan benarkan anak saya membaca novel ini, sehingga dia betul-betul telah dewasa dan matang.

(Saya ingin memohon maaf sekiranya apa yang saya tulis ini terlalu kritis dan berterus-terang. Ini cuma pendapat peribadi saya.)

Read more...

Perindu Pelangi

>> Thursday, June 10, 2010

Novel pertama tulisan Siti Munirah A. Rashid ini diterbitkan oleh Galeri Ilmu. Berikut merupakan sinopsis yang diberi dalam katalog buku Galeri Ilmu:

Akil masih terlalu mentah untuk menanggung musibah sebegitu berat. Mujurlah ada tangan yang simpati, lalu dia dibawa pergi. Belasan tahun dia hidup ceria di Guangzhou, China. Namun segalanya berubah selepas perkenalannya dengan Isador, konflik dengan Ho Man, kemelut hubungannya dengan Xiao Wei dan peristiwa tragik sewaktu kepulangan singkatnya ke Malaysia.


Jika ditanya saya, apa sebenarnya tema atau konflik utama dalam cerita ini, saya pun tidak pasti. Yang saya pasti, novel setebal 388 halaman ini membawa pembaca mengikuti kisah Akil dalam jangkamasa lebih kurang dua tahun. Tapi saya memang amat suka akan novel ini. Syabas kepada penulis muda Siti Munirah!

Ceritanya meyakinkan, plotnya menarik dan bergerak laju, garapannya kemas dan tidak meleret-leret. Latar yang dipilih iaitu negara China dan kerjaya Akil sebagai tukang masak amat membantu dalam menghidupkan cerita. Akil selaku protagonis juga amat 'real' - walaupun hampir sempurna, tetapi tidak pula sunyi dari berbuat kesalahan. Saya suka - kisah kasih-sayang yang melangkaui hubungan darah, persahabatan yang melangkaui ukhuwwah agama. Namun, ada juga beberapa bahagian yang barangkali boleh diperbaiki dan diperkemaskan supaya tiada tanda tanya dari pihak pembaca. Saya tidak sebutkan di sini, kerana ini cuma pendapat peribadi saya. Lagi pun, saya tak mahu tuliskan 'spoiler' - nanti kalian sudah tahu sebahagian daripada cerita dalam novel ini.

Read more...
ABOUT ME

emel.siti@ gmail.com

  © Blogger template Simple n' Sweet by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP