Perbendaharaan kata
>> Tuesday, May 3, 2011
Ya, saya tahu, Pesta Buku baru berlangsung minggu lepas. Saya tidak tulis apa-apa tentangnya kerana ... saya tidak dapat pergi (sedih!). Lebih kurangnya, saya belum habis berpantang selepas bersalin anak ketiga. Tak mengapa, insya-Allah tahun depan boleh pergi jika panjang umur :)
Saya baru selesai baca Advencer Si Peniup Ney beberapa minggu sudah. Buku yang diterbitkan pada tahun 2005 ini merupakan sindiran Faisal Tehrani terhadap budaya hiburan tempatan (khususnya Akademi Fantasia yang menjadi kegilaan remaja waktu itu). Seorang ustaz muda bernama Sulaiman dipilih megetuai sekumpulan jin muda untuk berdakwah di sebuah negara jin yang dilanda hedonisma dengan memperkenalkan konsep muzik sebagai alat untuk mendekatkan diri dengan Allah.
Kisah ini sinikal dan menarik, cuma pada pendapat saya bahagian di mana penduduk negara jin dengan cepat berjaya didakwahkan, agak kurang meyakinkan. Tentunya tidak mudah hendak memujuk golongan yang sudah terbiasa dengan sesuatu perkara untuk berubah.
Yang lebih menarik perhatian saya, buku ini menawarkan banyak kosa kata baru, bertepatan dengan apa yang dinyatakan oleh Faisal Tehrani dalam bukunya Karya Nan Indah, bahawa salah satu fungsi karya adalah memperkenalkan perbendaharaan kata baru kepada pembaca. Mula-mula perkataan-perkataan baru ini ('baru' bukan kerana baru dicipta, tetapi kerana jarang digunakan) memang kedengaran janggal, tetapi lama-lama akan terbiasa. Contohnya, perkataan 'ranggi' dan 'canggih' mula popular sekitar tahun 90-an, dan kini sudah biasa digunakan.
Ini antara perkataan-perkataan baru yang saya belajar daripada buku ini (makna dirujuk daripada Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP:
dubilah setan - kata yg menunjukkan kehairanan, kata seruan.
kepang - jalinan atau anyaman (tali, rambut)
jerait - berkait-kait; berjalin-jalin
jeregut - besar, rendang, rimbun, tersergam
jereket - melengket, melekat, bercantum
sijundai - ilmu sihir yg dapat menggilakan orang
silengah - tidak mengendahkan apa-apa, bersikap tidak tahu
mongkok - 1. (kelihatan,tampak) lebih tinggi drpd yg lain, tertinggi; 2. ki lebih baik (elok, unggul, utama)
kesel - letih, penat
jali - jelas, nyata, terang
sejemang - sebentar
ahmak - bodoh, dungu
Dan ini cuma daripada 5 mukasurat (37-41) untuk dicontohkan. Kelompok perkataan-perkataan 'jerait-jeregut-jereket' dan 'sijundai-silengah' membuatkan saya berhipotesis bahawa metod penulis memasukkan perkataan baru adalah dengan menyelak kamus kemudian mencari atau menyesuaikan ayat mana untuk diletakkan.
0 comments:
Post a Comment