Menara oleh Isa Kamari
>> Thursday, February 10, 2011
Saya tertarik untuk membaca novel sastera Menara garapan Isa Kamari (terbitan PTS Litera Utama) apabila mendapat tahu penulis seorang arkitek dan buku Menara pula merupakan jawapannya kepada persoalan apakah tidak timbul keinginannya untuk menulis novel mengenai pekerjaan arkitek.
Setelah menggeluti buku ini dalam waktu beberapa hari, jelas bahawa buku ini lebih menyorot persoalan falsafah berbanding pekerjaan arkitek secara langsung. Membangunkan binaan dianalogikan sebagai membangunkan jiwa. Sejujurnya, saya mendapati buku ini sedikit ‘berat’ untuk dihadamkan. Banyak perkara tersirat yang cuba disampaikan oleh penulis dan kadangkala saya tidak dapat mengikutinya. Penulis sendiri mengakui dalam ruangan Pengenalan, “Saya akui Menara bukan mudah dibaca dan dihayati. Ia memerlukan kesabaran dan keberanian pembaca. … Oleh kerana itu Menara tidak usah dipanjat dengan terburu-buru. …”
Pada awalnya saya sedikit keliru dengan plot cerita. Bab-bab seperti berselang-seli antara plot utama dengan cerita lain yang kadangkala seperti ada kaitan dengan plot utama dan kadangkala tidak. Usai membaca mukasurat terakhir, barulah saya menyelak kembali ke ruangan Pengenalan di hadapan. Rupa-rupanya, memang penulis sengaja menggunakan kembali cerpen-cerpen yang telah ditulisnya sebelum ini dan menggabungkannya menerusi satu tema (jati diri dalam era globalisasi) yang diolah menjadi plot utama cerita Menara.
Ayat-ayat dalam buku ini enak dibaca, amat berguna untuk menambahkan khazanah ayat satera dalam minda saya. Tambahan pula, penulis banyak memasukkan bait-bait puisi dalam plot utamanya. Tetapi ceritanya barangkali terlalu berat atau filosofikal untuk seorang ‘layman’ seperti saya.
2 comments:
setuju. ada sestengahnya buat saya terkedu & tidak faham. saya sebenarnya tidak faham pun cerita tu, hehe
buku berfalsafah seperti ini perlu dihayati dan dikaji lama sedikit hehe :)
Post a Comment