Wishlist for 2011 - Part 3

>> Saturday, February 12, 2011

Jika Part 1 untuk suami, Part 2 untuk anak-anak, kini tibalah Part 3, akhirnya untuk saya pula (dan tentunya yang paling panjang)!

Saya gemar membaca karya Faisal Tehrani kerana beliau banyak menyelitkan ilmu tambah dalam buku-buku beliau. Antologi cerpen terbaru beliau 'Tiga Kali Seminggu' memang sudah dalam senarai wishlist saya, dan baru-baru ini beliau mengumumkan terbitnya novel terbaru bertajuk 'Sebongkah Batu di Kuala Berang', novelnya yang pertama diterbitkan oleh PTS.

Credit to image source: tehranifaisal.blogspot.com


Lagi daripada PTS, buku 'Ibu, Benarkah Tuhan Itu Ada?' karya Nabilah Hassan. Pertama kali saya mendengar mendengar mengenai buku ini melalui resensi W Laanda. Saya harap buku ini akan membantu saya menjawab soalan-soalan anak sulung saya yang berusia 5 tahun yang semakin kerap bertanya mengenai Allah.

Daripada penerbit Galeri Ilmu, saya inginkan buku-buku ini:
- Rumahku Ofisku oleh Mazneera Zainal (ya, saya ada cita-cita mahu bekerja dari rumah)
- 100 Kisah Kehidupan disusun oleh Zakaria Sungib (saya bayangkan buku ini seakan-akan siri 'Chicken Soup', yang memaparkan kisah-kisah benar yang memberikan inspirasi)
- Aku Terima Nikahnya (Edisi Istimewa) oleh Hasrizal Abdul Jamil

Credit to image source: popular.com.my


Walaupun saya sudah memiliki dua buku pertama dalam kompilasi ATN di atas, saya tetap teringin hendak membeli Edisi Istimewa ini kerana ia berkulit tebal dan grafik covernya amat cantik. Saya memang gemar membeli kompilasi kerana saya rasakan sesuai dijadikan koleksi jangka panjang. Kompilasi lain yang telah saya beli (walaupun telah memiliki sebahagian buku yang terkandung dalam kompilasi itu) ialah 1 Hari 1 Resipi oleh Chef Hanieliza (berbaloi dan highly recommended!) dan Khalifah-khalifah Yang Benar oleh Abdul Latip Talib, kedua-duanya terbitan PTS. Saya mengharapkan PTS akan mengumpulkan novel-novel sejarah Islam keempat-empat imam besar, oleh itu saya masih menunggu dan belum membeli mana-mana satu daripadanya.

Berikutnya, buku Mukmin Profesional: Celik Mata Hati tulisan Pahrol Mohd Juoi terbitan Telaga Biru.

Credit to image source: genta-rasa.com


Daripada DBP, buku 'Bagaimana Saya Menulis' himpunan 17 cerpen dan proses menulisnya daripada pengarang masing-masing.

Interlok karya SN Abdullah Hussein. Ya, saya juga salah seorang yang jadi berminat hendak membaca buku ini setelah muncul kontroversi berkenaannya baru-baru ini. Buku ini dipilih sebagai buku untuk Ganding Baca ahli-ahli kumpulan Goodreads Malaysia, tetapi saya telah terlepas. Tidak mengapa, tiada tarikh luput.

Daripada Alaf21, A.D.A.M. tulisan Ramlee Awang Murshid.

Dan akhir sekali, tiga buku berbahasa Inggeris, dua daripadanya terbitan tempatan bertajuk Islam in Malaysia: Perception and Myths nukilan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin diterbitkan oleh Matahari Books dan Moving Forward oleh Nik Nazmi diterbitkan oleh MPS Publishing. Dan satu lagi, buku bergenre 'popular ecomnomics' bertajuk Superfreakonomics. Buku ini mudah sahaja didapati di kedai-kedai buku utama (MPH misalnya) tetapi saya sedang menunggu harganya turun sedikit, bawah RM40.

Credit to image source: amazon.com

0 comments:

Post a Comment

ABOUT ME

emel.siti@ gmail.com

  © Blogger template Simple n' Sweet by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP