Salina oleh A Samad Said

>> Monday, July 26, 2010


Semenjak saya didatangi kesedaran untuk memahirkan diri saya menggunakan bahasa ibunda (saya ingin ceritakan lebih lanjut, mungkin di post akan datang, insyaAllah), saya lebih proaktif mencari buku-buku Bahasa Malaysia untuk dibaca. Salah satu azam saya ialah untuk membaca satu buku tulisan setiap Sasterawan Negara. Bagi Datuk A Samad Said, saya telah sekian lama mencari-cari novel Salina, kerana novel yang ditulis lebih setengah abad yang lalu ini banyak disebut-sebut, dan beberapa orang kenalan saya ada menyenaraikan buku ini dalam senarai buku kegemaran mereka. Akhirnya saya berjumpa dengan buku ini di Perpustakaan Bandar Baru Bangi.

Sejujurnya, saya agak kecewa. Meskipun saya tahu watak Salina merupakan seorang pelacur yang baik hati, saya tidak menjangka hampir keseluruhan cerita berkisarkan mengenai watak-watak yang sebahagiannya tidak baik dan bergelumang dengan maksiat. Ada kisah seks luar nikah dan rogol (walaupun tidak diperinci), minum arak, memukul, mengherdik, menghasut, dan sebagainya. Saya membaca dalam keadaan kurang selesa, ‘panas hati’ dan kadang-kadang rasa seperti mahu menjeritkan ‘arghh!’ (di dalam hati). Kadang-kadang, saya rasakan seolah-olah watak-watak baik tidak berusaha untuk ‘menentang’ watak-watak ‘jahat’. Contohnya, apabilah Nahidah ditekan oleh ibu tirinya supaya bekerja sebagai pelayan (yang dimaklumi akan membawa kepada pelacuran dalam kes ini), mengapa dia cuma menentang dan membantah tetapi akhirnya akur walaupun tanpa rela? Mengapa tidak larikan diri sahaja dari rumah bersama-sama dengan abang-abangnya?

Saya hampir saja berhenti membaca tetapi saya gagahkan diri untuk menghabiskan, pertamanya kerana masih ada rasa ingin tahu bagaimana kesudahan cerita ini dan kedua masih mengharapkan cerita disudahkan dengan lebih positif. Saya silap. Kesudahan cerita ini seperti tidak memenangkan watak-watak baik. Sesetengah bahagian cerita membiarkan pembaca tertanya-tanya. Apa yang terjadi kepada Zarina? Nahidah? Abdul Fakar? Cerita ini lebih memfokuskan kepada apa yang terjadi pada waktu itu sahaja.

Benar, novel merupakan garapan realiti masyarakat dan barangkali realiti ini perlu dirakam. Tetapi saya mendapat kejutan budaya (culture shock) membaca realiti itu. Benar, kehidupan sesetengah kaum masyarakat amat susah dan miskin terutama waktu zaman selepas perang dan sebelum kemerdekaan. Saya kira saya lebih suka mengambil tauladan daripada kisah-kisah yang baik, berbanding menjadikan sempadan kisah-kisah yang tidak baik, walaupun tidak dinafikan kadang-kadang kisah-kisah yang tidak baik itu lebih berkesan dalam memberi pengajaran.

Sebenarnya, novel ini digarap dengan sangat baik, sehinggakan dapat digambarkan dengan jelas bagaimana daifnya kehidupan di Kampung Kambing itu. Ceritanya meruntun hati. Dialog pada zaman itu menarik untuk diperhatikan (contoh ‘hendak’ dieja sebagai ‘endak’). Namun, saya tidak fikir saya akan benarkan anak saya membaca novel ini, sehingga dia betul-betul telah dewasa dan matang.

(Saya ingin memohon maaf sekiranya apa yang saya tulis ini terlalu kritis dan berterus-terang. Ini cuma pendapat peribadi saya.)

12 comments:

Anonymous,  July 29, 2010 at 11:37 PM  

Cuba dapatkan novel Laskar Pelangi terbitan PTS(kisah orang Melayu Belitong). Latar cerita dan kehidupan watak-wataknya mungkin agak menyedihkan. Tapi bila awak dah baca awak mungkin akan banyak senyum, ketawa, terharu atau sedih sekaligus.

Siti August 3, 2010 at 8:48 PM  

anonymous,
'malangnya' saya sudah 'ter'tonton filemnya. memang ada bahagian-bahagian yang cukup mengharukan, dan saya menitiskan airmata beberapa kali. tetapi secara keseluruhan, cerita sedikit mendatar dan tiada plot/konfliks/klimaks utama (penilaian peribadi semata-mata). barangkali versi buku lebih baik.

Anonymous,  August 4, 2010 at 11:56 PM  

Siti,
saya pun dah tonton filemnya. Memang agak berbeza berbanding novel. Agak mengharukan(suka watak anak-anak Belitong yang spontan lakonannya walaupun tidak tidak pernah sebelum itu). Tetapi tapi saya lebih suka versi novel kerana dengan novel, saya boleh beimaginasi lebih luas tentang cerita dan watak-wataknya.

Oh ya, novel Laskar Pelangi memang agak berbeza sebenarnya. Memang tiada plot, konflik dan klimaks(boleh jadi juga ceritanya anti-klimaks). Ia adalah cerita kehidupan berdasarkan cebisan-cebisan kenangan yang memang dialami oleh penulis ketika bersekolah di sekolah miskin Muhammadiyah. Ditambah dengan sedikit fiksyen.

Setiap bab memiliki ceritanya yang tersendiri. Penceritaanya memang tidak terikat dengan masa dan kronology. Tapi terpulanglah, setiap pembaca memiliki penilaiannya yang tersendiri.

Sekiranya awak berpeluang membaca novelnya cuba buang jauh-jauh gambaran yang dah melekat dalam minda awak tentang filem tersebut.

Anonymous,  August 5, 2010 at 12:10 AM  

(suka dengan watak-watak anak Belitong yang spontan lakonannya walaupun tidak pernah berlakon sebelum itu) silap taip tadi.

Atau cuba baca novel-novel Faisal Tehrani ke. Diantara penulis yang prolifik kat Malaysia.
Untuk permulaan cuba novel Manikam Kalbu dan Nama Beta Sultan Alauddin. Sekadar cadangan.

inn July 31, 2011 at 2:11 AM  

mana saya nak dapatkan buku salina ni.. mmg saya nak mencari sangat2.. plzz....

Aziemah Gekozen Great Eastern Takaful October 2, 2011 at 2:10 PM  

Hi, I'm very interested to have this book. Is this book still in your possession? If possible, can I borrow, or buy,or rent this book from you? And what do you mean by "swap books"? Do you mean we swap books and then return back or swap for permanent? If you want, I have a few literature novels to swap with Salina. Please..I really need this original copy of Salina.

Siti October 23, 2011 at 9:09 AM  

inn, aziemah,
maaf kerana lambat membalas komen. saya pinjam buku di perpustakaan awam (Bangi) jadi tidak dapat pinjamkan kepada kalian, minta maaf. cubalah cari di perpustakaan awam berhampiran. saya ada dengar-dengar novel ini akan diterbitkan semula (oleh penerbit lain) tetapi tidak tahu bila.

Anonymous,  October 23, 2013 at 8:09 PM  

Slot penceritaan dan era perubahan masa daripada buku yang setengah abad lamanya sukar dihayati oleh golongan muda seperti saya (20++), permulaan cerita segala perilaku watak dan penceritaan masa dan latarbelakang pencahayaan juga ditelitikan, tetapi malangnya penghabisan cerita ibarat melepaskan batuk di tepi tangga.Sungguh ringkas dan tiada pergolakan emosi diterapkan.Seperti segala-gala yang berlaku sudah dimaafi dan dilupakan oleh setiap watak yang menderita (bagai nak gile dia buat buku senang aku komen kan! Tunggu seperenggan dari aku pun berjanggut ke lutut).Saya tertanya-tanya sekiranya ada versi ke-2.Nampaknya, tidak.Secara keseluruhan watak utama tidaklah menampilkan Salina semata-mata bahkan melebihkan kepada Nahidah dan Hilmy pula sebagai pembawa slot.Saya baca buku terbitan yang baru tahun 2013 kulit buku tangan menadah rama-rama warna turquoise. Ada promosi di kedai Popular RM18.++ dari RM33.++ sebab banyak ejaan salah dan double words.(perihal buku ini secara keseluruhan sebenarnya bukan lah berkait kehidupan manusia pendukung watak sebenarnya tetapi perkara halus tertentu yang diselitkan oleh pengarang yang ingin sesuatu permasalahan/isu diambil ikhtibar oleh umum).Jujur dan ikhlas sebenarnya saya sedikit bosan mambaca buku ini, mungkin isi hati pengarang terlalu berlapis-lapis dan tidak berterus terang untuk membawa plot penceritaan,tetapi jangan pembaca dan pengarang berputus asa membaca dan merasa "menggerutu" dengan kritikan ini kerana setiap pandangan membawa kebaikan dan keburukan; Tidak gitu?.Khi khi khi.

Anonymous,  January 15, 2014 at 10:29 PM  

ada filem ke novel ni? tahun bila? siapa pelakon?

Anonymous,  September 20, 2014 at 10:10 PM  

bagaimana saya mau dapatkan buku asal Salina. Kawan saya amat memerlukan. Hampir semua kedai buku tiada menjual. Mohon tolong bgi cadangan krn dipeelukan utk pengajian

Siti September 21, 2014 at 8:36 AM  

Sdr/i, i) boleh cuba e-melkan kepada anak Pak Samad, Helmy Samad (helmysamad@gmail.com):
http://helmysamad.blogspot.com/2012/08/salina_10.html untuk bertanya/membeli
ii) Novel ini telah diterbitkan semula pada tahun 2012 oleh Wira Bukit (jikalau tidak silap saya) dan sudah boleh didapati di kedai buku.
iii) Juga ada di perpustakaan awam.

Unknown October 25, 2015 at 6:26 PM  

hello everyone, can you please help me to give me the summary of this book in English ? THANK YOU guys

Post a Comment

ABOUT ME

emel.siti@ gmail.com

  © Blogger template Simple n' Sweet by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP