Puisi yang indah
>> Thursday, September 22, 2011
Usah menyangka puisi mudah ditulis hanya kerana bilangan perkataannya sedikit berbanding genre lain. Puisi sebenarnya lebih sukar kerana pemilihan perkataan perlu tepat untuk menggambarkan maksud dan di samping itu perlu memberi ‘pengalaman bahasa’(linguistic experience) yang indah buat pembaca atau pendengar. Ia satu seni yang memerlukan ilham dan bakat yang tinggi, saya kira. Saya akui, saya sendiri jarang membaca buku koleksi puisi. Satu-satunya buku puisi yang saya telah saya beli adalah Al-Amin tulisan A Samad Said, itu pun belum saya uliti kerana bukunya belum sampai di tangan.
Radio IKIM kerap juga menyiarkan sajak dan puisi yang dideklamasi dengan baik, dan saya suka mendengarnya. Puisi Jika nukilan A Samad Said di bawah begitu cantik sekali. Ringkas, sedap didengar, sarat dengan makna.
Jika
Jika bukit menjadi gunung
Gunung menyuburi rimba
Jika sakit mendorong menung
Menung meransang dewasa
Lorong hidup banyak cabarnya
Jika rakit menjadi kapal
Kapal meningkat bahtera
Jika bangkit melawan gagal
Gagal membibit hemah
Landas hidup banyak tuahnya
A. Samad Said
Ini pula sajak Lidah Bangsa nukilan A Aziz Deraman.
Lidah BangsaRead more...
Lidah bangsaku tiba-tiba kelu
di hujung satu dekad abad ke-21
buana yang resah benua tidak tentu
akan segala yang mungkin alaf baru,
ketika kuasa-kuasa bertukar haluan
krisis ekonomi gelegak di tangan
budaya hidup yang terencat
sosial manusia yang bejat
di sisi globalisasi liberalisasi
bangsaku hilang berani.
Dari dahulu di bumi merdeka ini
bangsaku bingkas
bangun berdiri
bersatu langkah sederap serentak
yakin bangunkan nusa yang hebat
dimalui disegani dihormati orang
atas kekuatan aneka macam
taat setia rakyat menjulang
satu padu bukan kepalang
sepakat nikmat kemakmuran,
jika muncul aliran baru alur fikir
menerjah tanpa nyata batin zahir
nusa ini akan nanar
jadi pohon tidak berakar.
A AZIZ DERAMAN