Menunggu Cinta Tuhan oleh Lily Haslina Nasir
>> Thursday, November 18, 2010
Buku terbitan PTS Litera ini tidak mengecewakan. Saya larut dalam cerita yang digarap oleh Lily Haslina Nasir. Ini karya beliau yang pertama saya baca. Impresif juga biografinya; beliau mula menulis seawal usia 13 tahun dan novel pertama beliau diterbitkan sewaktu beliau berusia 17 tahun.
Latar yang dipilih adalah amalan ilmu hitam dan kewartawanan unit hiburan, cukup menarik. Watak-watak utama - Khalida Atikah, graduan bidang syariah yang ingin melakukan dakwah cara sendiri menjadi wartawan unit hiburan; Azrul Rasyid, ketua unit hiburan Akhbar Dinamik yang kasar lagi lantang, tulisannya penuh menyakitkan hati; dan Nureen, gadis seksi yang mula belajar ilmu sihir dari makciknya, Latifah. Ilmu sihir diamalkan untuk melariskan makanan (Latifah memiliki perniagaan restoran), membalas dendam dan sebagai ubat pengasih.
Pengakhiran cerita ini sebenarnya tidak sukar dijangka, tapi saya seronok juga membaca untuk mengetahui bagaimana perinciannya. Prolog yang diberi di permulaan novel juga sudah menggambarkan kesudahan cerita, tetapi saya dapati ada sesuatu yang 'tidak kena' (plot tidak konsisten/kongruen) dengan prolog ini apabila sudah selesai membaca keseluruhan novel. Ada juga satu plot dalam cerita (berkenaan rahsia ibu Azrul) yang sedikit tergantung. Dan akhir sekali, meskipun isu remeh sahaja, saya kurang setuju dengan pemilihan wajah yang menjadi penghias kulit depan novel ini, wajah gadis dari ras Kaukasian/Arab sedangkan watak yang cuba digambarkan (Khalida Atikah) berbangsa Melayu. Bukannya apa, pandangan pertama (first impression) jika tidak dibaca blurb kulit belakang mungkin menyebabkan bakal pembeli menyangka ini kisah cinta berbeza budaya. Read more...