Wishlist for 2011 - Part 2
>> Wednesday, January 19, 2011
Tempoh hari, anak saya yang sulung (lima tahun) memerhatikan rak buku kami. Dia bertanya, "Buku Ummi lebih banyak daripada buku Abang, ya?"
"Ya."
"Kalau macam tu, belilah lagi buku untuk Abang!"
Hahaha! Begitulah logik si cerdik itu. Saya tidak khabarkan terus padanya memang saya bercadang untuk beli beberapa buah buku untuknya tidak lama lagi, kerana tidak mahu dia menuntut serta-merta. Biarlah saya beli pada waktu yang sesuai buat saya dan hadiahkan padanya sebagai kejutan.
Ini antara buku-buku yang saya rancang untuk beli untuk Abang dan Kakak (dua anak saya) tahun ini:
Jika masih ingat, saya pernah kongsikan di sini reviu buku ini oleh Hidayah, bulan Jun tahun lepas. Waktu itu pun saya sudah sebutkan mahu beli, tapi setelah enam bulan berlalu, belum terbeli-beli (ooops). Saya akan beli sekaligus dengan buku-buku Telaga Biru lain melalui laman ini.
Saya juga berminat untuk cuba dua atau tiga buku daripada set buku besar Permata Hatiku terbitan PTS. Lihatlah ilustrasinya, cukup menarik. Maklumlah, buah tangan Emila Yusof. Penulisnya juga, Alia Nina, bukan calang-calang orangnya.
Berikutnya, saya bercadang untuk beli tiga atau empat buku daripada siri 'I Wonder Why'. Pertama kali saya kenal siri ini sudah lama, tetapi waktu itu buku-buku ini dipakejkan dalam satu set gergasi oleh Gr*li*r dengan harga ribuan ringgit. Saya tidak berminat untuk membeli keseluruhan set sebab rasa 'terkongkong dan dipaksakan' oleh set yang disertakan dalam pakej. Saya lebih suka 'pick and mix' sesuka hati sendiri. (Tambahan pula, terasa mahal sungguh set buku hingga ribuan ringgit). Sewaktu berkunjung ke Book Xcess akhir tahun lepas, saya berjumpa buku-buku ini dijual dengan harga cuma RM12.90 sebuah! Saya tidak beli terus waktu itu sebab memang saya tiada niat untuk membeli sebarang buku waktu itu, cuma mahu 'tengok-tengok dahulu' (nampaknya saya bukan seorang 'impulsive buyer'! :) ).